sampai sini -->

06 December, 2009

Wahabi: Pandangan orientalis dan penulis Barat

Wahabi: Pandangan orientalis dan penulis Barat
A RAZAK MUTHALIB
www.abdulmutalib.com

Perkataan Wahabi menjadi semakin popular kebelakangan ini. Sebahagian orang yang sebelum ini tidak pernah tahu apa itu Wahabi, telah tahu sedikit sebanyak mengenainya. Paling tidak mereka tahu yang Wahabi ini adalah istilah yang asalnya dicipta oleh pihak musuh Islam dan dipakaikan kepada orang Islam.

Jika istilah ini disebut sekarang, maka ia merujuk kepada gerakan dakwah yang diasaskan Syeikh Muhammad Abdul Wahab. Walaupun istilah ini kurang tepat sebab Abdul Wahab itu ialah bapanya, sepatutnya digelarlah Muhammadi. Tetapi ini bukanlah perbincangan yang besar kerana pengasasnya sendiri tidak pernah menggelar gerakan dakwahnya sebegitu.

Namun, yang peliknya istilah 'Wahabi' telah menjadi senjata lapuk sesetengah pihak yang digunakan untuk menikam mereka yang membawa pendapat tidak sealiran dengan mereka. Jika ada orang yang menyeru ke arah pembaharuan, dan seruan itu bercanggah dengan kefahaman mereka, maka dikeluarkan senjata lapuk lagi berkarat itu, lantas dengan mudah mereka berkata “kamu Wahabi”.

Ditakut-takutkan pula masyarakat yang semakin cerdik ini dengan katanya: “Jangan dengar dan ikut pandangan orang itu, sebab dia itu Wahabi”. Sedangkan seruan itu bukanlah cakap-cakap kosong, tetapi berpaksikan dalil-dalil dan hujah al-Quran dan sunnah, disokong pula oleh para sarjana umat yang diiktiraf.

Mujurlah masyarakat sekarang bukanlah masyarakat yang hanya percaya dan menerima membuta tuli tanpa ditanya alasan dan hujah yang kukuh. Mungkin mereka yang suka menggunakan senjata “Wahabi” yang tumpul itu terlupa atau tidak sedar yang masyarakat zaman sekarang ialah masyarakat cerdik dan berilmu tidak seperti mereka. Jika dalam perkara keduniaan lain kita mementingkan fakta dan hujah yang kukuh, apatah lagi dalam perkara berkaitan agama. Sudah semestinya kita tidak menerima dakwaan atau tuduhan liar yang tidak bersandarkan fakta dan hujah.

Terlanjur bercakap mengenai Syeikh Muhamad Abdul Wahab dan gerakan dakwahnya, sengaja penulis ingin paparkan beberapa pandangan orientalis bukan Islam terhadapnya. Antaranya ialah:

1. Henry Laust (orientalis Perancis):

“Gelaran al-Salafiyah juga diberikan kepada gerakan al-Wahabiyah. Ia kerana gerakan ini mahu mengembalikan Islam seperti mana keadaannya pada zaman para salafussoleh (para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin). Tetapi kalimah al-salafiyah tidaklah dikhususkan kepada gerakan al-Wahabiyah atau al-Hanabilah sahaja. Maka setiap aliran sunnah (yang berjuang menegakkan sunnah) mereka itulah salafiyun”.

(Lihat: Tarikh al-Bilad al-Arabiyah al-Saudiyah- al-‘Ajalani 1/351)

2. L Steward, seorang penulis Amerika menulis di dalam buku Hadhir al-‘Alam al-Islami:

“Sesungguhnya dakwah al-Wahabiyah adalah dakwah ke arah pembaikan yang amat suci lagi tulen. Tujuannya untuk membaiki keadaan yang telah rosak, memadamkan segala syubhah, memusnahkan segala kekeliruan dan menghapuskan semua tafsiran-tafsiran yang pelbagai dan saling bercanggah yang mana ia telah dilakukan ahli-ahli agama pada zaman pertengahan Islam serta membersihkan semua bidaah-bidaah dan ibadat para wali (yang melampau). Kesimpulannya ia adalah seruan kembali kepada Islam yang tulen�”

3. Snock Horgronje, seorang Kristian dan orientalis Holand berkata:

“Telah muncul di timur semenanjung tanah Arab seorang reformis untuk Islam (Syeikh Muhammad Abdul Wahab)� dan sesungguhnya Syeikh Muhammad Abdul Wahab sangat beriltizam dengan seruan ke arah pembaikan (islah) dan inilah yang dijadikan matlamat dakwahnya. Beliau senantiasa dipandu oleh perasaan ikhlas dalam perkataan dan amal. Dengan itu percakapan dan penulisannya menjadi mudah, di samping bantuan kekuatan pengaruh Ibn Saud dan pedangnya, yang dengan itu terbinalah gerakan islah ini”.

4. Armanu (orientalis Sepanyol) berkata:

“Sesungguhnya setiap apa yang dikaitkan dengan al-Wahabiyah daripada tohmahan dan pembohongan adalah tidak benar sama sekali. Al-Wahabiyah adalah satu golongan yang ingin mengembalikan Islam seperti mana pada zaman para sahabat ((Muhammad SAW).
(Dipetik daripada buku al-Islam, tulisan orientalis Itali, Leibritini)

5. Seorang orientalis Inggeris, di dalam kitab al-Muhammadiah telah menulis: “Di semenanjung tanah Arab, pada tahun 1157 H / 1744 M, Muhammad bin Abdul Wahab bersama pemerintah daripada keluarga Saud telah bangun menggerakkan dakwah ke arah mazhab al-Hanbali yang dimulakan usaha ini oleh Ibn Taimiyah pada kurun ke-14”.

(Lihat: Prof. Dr Nasir bin Abd al-Kareem al-‘Aql, Islamiyah La Wahabiyah (Riyadh: Dar Kunuz Ishbiliya, cet. 1, 2003)
Kemungkinan akan ada pula yang menyanggah bahawa ini adalah kata-kata orang barat bukan Islam. Tidak boleh diterima dan tidak terpakai. Tetapi, tidakkah kita terfikir, jika orang bukan Islam pun mengiktiraf dan mengetahui hakikat kebenaran sebenar tentang Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan gerakan dakwahnya, maka amat peliklah jika ada segelintir orang Islam di Malaysia yang menuduhnya sebagai sesat, malah lebih teruk jika sampai ke tahap mengkafirkan. Diharapkan pembaca sekalian tidak termasuk dalam kelompok mereka yang pelik itu.

Bagaimana penulis-penulis barat itu boleh mendapat maklumat yang betul dan mengetahui fakta yang benar. Sudah tentu mereka adalah golongan yang kuat mengkaji dan membaca demi mencari kebenaran. Penilaian adil diberikan berdasarkan ilmu dan maklumat yang diperoleh, bukan berdasarkan hasad dengki dan niat jahat di hati.

Sumber dari Sinar Harian

1 comment:

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online