sampai sini -->

28 December, 2009

Koleksi Keris Melayu

DAPUR Sardula Mangsah (Harimau Yang Memangsa), Naga Sabra Lok 11 (Naga 11 Lok), Lok Tiga Dapur Cangkung Pamor Wos Wutah (Beras Tumpah) dan Lok Tiga Dapur Merak Tinandu (Merak Kembar).
Nama pelik berkenaan mungkin tidak pernah didengari atau diketahui sebahagian besar daripada kita tetapi bagi peminat senjata tradisional, ia bukan asing lagi kerana itu semua adalah nama keris yang menjadi kebanggaan pengguna atau penyimpannya.
Untuk menghafal namanya saja memeningkan kepala tetapi tidak bagi Zarim Marzuki, 31, dari Jenjarom, Selangor yang menyimpan lebih 200 keris sebagai koleksi peribadinya.
Kata Zarim, setiap keris dalam simpanannya dihasilkan mengikut acuan unik atau kepercayaan pandai besinya, tetapi masih mengekalkan keaslian supaya ia tidak lari daripada nilai tradisional senjata itu.
Mengulas nama pelik yang diberikan kepada keris simpanannya, Zarim atau lebih popular dengan gelaran ‘Mat Jawa’ di kalangan peminat keris memaklumkan, ia disebabkan sebahagian besar koleksinya dikategorikan sebagai Keris Jawa.
“Keistimewaan keris Harimau Yang Memangsa ialah ia disadur dengan emas, begitu juga Naga Lok 11. Bagi Beras Tumpah, ia dinamakan sedemikian sebagai simbolik lebih banyak beras, maka semakin besar rezeki diterima penyimpannya.
“Merak Kembar pula ditempa menggunakan besi hitam dan diadaptasi daripada paruh burung merak,” katanya.
Antara Keris Jawa lain dalam simpanannya ialah keris Lok Tiga Dapur Sempena Pamor Eriwader, Bethok Pamor Poleng, Dapur Sampur Pudak Setegal dan banyak lagi.
Eksekutif Teknikal sebuah syarikat swasta di Klang itu berulang ke Jogjakarta, Demak atau Surabaya, Indonesia, setiap bulan bagi melihat atau mendapatkan keris idaman.
“Saya jadikan keris sebagai koleksi peribadi kerana minat mendalam selain mahu menghargai warisan tradisional.
“Dalam masa sama, saya tidak percaya pada kemistikannya kerana keris hanya senjata biasa. Ia hanya menjadi mistik jika pemiliknya melakukan ‘sesuatu’ yang bertentangan dengan ajaran agama,” katanya.
Berlainan pula dengan Noor Azman Jamaluddin, 40, berasal dari Andalas, Klang, yang lebih gemar menjadikan Keris Melayu milik pahlawan serta raja sebagai koleksi utama simpanannya.
Keturunan tabib istana itu mendakwa menyimpan empat daripada keris dimiliki nama besar dalam lagenda Melayu iaitu keris Laksamana Hang Tuah, Hang Lekiu, Megat Terawis serta Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.
“Keris Hang Tuah yang berusia kira-kira 600 tahun itu panjangnya 37 sentimeter (sm) dan ia satu daripada jenis Keris Melayu atau Pandai Saras.
“Ia berlok tujuh dengan mata kerisnya halus serta tajam dan dianggap mudah untuk masuk dan keluar ketika dihunus atau ditikam kepada musuh,” katanya.
Noor Azman mendakwa, keris Hang Lekiu pula ukuran panjangnya lebih kira-kira lima sm daripada keris Laksmana Hang Tuah. Berdasarkan penelitian, Noor Azman memaklumkan mungkin pahlawan terbabit bertubuh lebih tinggi.
Katanya, besi digunakan untuk menghasilkan keris milik kedua-dua pahlawan berkenaan pula adalah campuran miang besi selain berkemungkinan emas serta perak.
“Saya percaya kedua-duanya digunakan dengan kerap oleh pahlawan Melayu itu untuk bertempur dengan musuh.
“Ia juga mungkin kurniaan daripada pembesar atau orang istana Melaka berdasarkan bentuk, jenis selain hasil buatan orang sama,” katanya.
Bagaimanapun, pekerja syarikat perkapalan di Pelabuhan Klang itu memaklumkan, tiada kuasa sakti atau mistik seperti pemilik keris akan kebal jika memiliki, menggunakan atau menyentuh kedua-dua bilah senjata berkenaan.
“Ia keris biasa dan tiada kuasa sakti. Jangan percaya pada kepercayaan kuasa keris kerana ia mendatangkan syirik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online