sampai sini -->

29 December, 2009

APA BEZA ANTARA NAIB DAN TIMBALAN?

Dalam sesetengah organisasi atau pertubuhan ada Ketua dan Naib sahaja. Setengah tu ada Ketua dan Timbalan sahaja.
Tetapi ada juga yang ada ketiga-tiga sekali iaitu Ketua, Timbalan dan Naib.
Negara kita ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi tidak ada Naib Perdana Menteri. Di dalam parti
UMNO ada ketiga-tiga sekali Presiden, Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden. Di Amerika Syarikat mereka ada
Presiden dan Naib Presiden tetapi tidak ada pula Timbalan Presiden. Bagaimana sesuatu jawatan itu perlu ada atau tidak
perlu ada tidaklah saya arif bagaimana ia ditentukan.
Kalau kita lihat di negara kita Malaysia, siapa yang menjawat jawatanTimbalan Presiden UMNO selalunya akan dilantik
oleh Perdana Menteri menjadi Timbalan Perdana Menteri.  Tetapi ini bukanlah satu perkara yang wajib dipatuhi oleh
Perdana Menteri untuk melantik timbalannya daripada orang yang menduduki jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Sebagai contoh, perlantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu masa dulu menunjukkan
peraturan itu bukanlah sesuatu yang wajib kerana semasa perlantikan itu dibuat Abdullah bukanlah Timbalan Presiden
UMNO.
Mungkin ada baiknya kalau orang yang menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah terdiri dari orang yang
disenangi dan boleh dipercayai oleh Perdana Menteri. Timbalan Perdana Menteri sepatutnya terdiri dari orang yang boleh
membantu dan boleh bekerja dengan Perdana Menteri. Ini dapat mengelakkan tidak timbul konflik antara Perdana
Menteri dan Timbalannya bila menghadapi sesuatu isu.
Ada di setengah negara, ketua negara menentukan sendiri siapa yang patut menjadi timbalan atau penolongnya dalam
mentadbir negara. Tidak semestinya orang itu perlu melalui proses pemilihan atau mempunyai kekuatan politik. Sama
seperti Musa Mohammad  dilantik menjadi Menteri Pendidikan, khabarnya sebelum ini dia tidak pernah menjadi ahli
mana-mana parti politik pun.
 
Amalan negara kita ini, siapa  yang menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah juga Timbalan Presiden UMNO. Tidak
dapat dinafikan Timbalan Presiden UMNO mempunyai kekuatan politiknya tersendiri kerana dia dipilih melalui undi
populariti. Sudah tentu kekuatan politik yang mereka miliki itu dapat mencabar dan menggugat Perdana Menteri.
Kekuatan politik yang ada pada diri mereka menyebabkan mereka boleh untuk tidak bersetuju dengan Perdana Menteri.
Setiap kali pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO sudah tentu Presiden akan menyokong calon yang boleh
bekerja dengannya untuk mentadbir parti dan negara. Tentulah sukar bagi seorang Presiden UMNO atau Perdana
Menteri mendapat timbalan dari kalangan orang yang tidak disenanginya. Kemungkinan seperti ini boleh berlaku kerana
Timbalan Presiden UMNO dipilih sendiri oleh ahli-ahli UMNO. Tidak hairanlah kalau kita lihat calon Presiden UMNO
akan memilih sekutunya dari calon Timbalan Presiden UMNO bagi menentang calon yang lain, seperti yang berlaku pada
tahun 1987 regu Mahathir dan Ghafar telah menentang regu Ku Li dan Musa Hitam.
Apa yang kita nampak jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sepatutnya bertugas bagi membantu tugas Presiden ada
kalanya menentang dan tidak sama pendirian dengan presiden. Kadang kala ia boleh menjadi pesaing terdekat dan
menggugat kedudukan presiden sendiri. Oleh itu dalam amalan sebelum ini Timbalan Presiden UMNO itu memang tidak
tepat sebagai pembantu presiden tetapi lebih kepada menjadi pesaing terdekat kepada presiden, mungkin ini berlaku
kerana jawatan Timbalan Presiden dipilih melalui cara undi sama seperti memilih presiden.
Apa pula peranan Naib Presiden UMNO? Kita tak nampak pentingnya tugas Naib Presiden UMNO  yang terdiri dari
tiga orang itu. Bila ada sesuatu isu nampaklah muka mereka di dalam TV atau akhbar untuk memberi pandangan.
Mungkin jawatan Naib Presiden UMNO itu bolehlah dianggap sebagai tempat bagi mengukur populariti seseorang
pemimpin UMNO itu di kalangan ahlinya. Dari situ Naib-naib Presiden UMNO ini bolehlah pula menyiapkan diri mereka
untuk bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan akan datang.  Dengan kata lain Naib-naib Presiden adalah calon
yang berpotensi bagi mecabar jawatan Presiden.
Kesimpulannya, jawatan Timbalan Presiden UMNO tidaklah wajar dipertandingkan sebaliknya cukuplah sekadar dilantik
sendiri oleh Perdana Menteri (Presiden UMNO) mengikut budibicaranya. Tetapi jawatan Presiden UMNO memang
perlu dipertandingkan bagi menjamin kesinambungan pimpinan yang terbaik dapat diamalkan. Hilanglah
amalan demokrasi jika jawatan Presiden tidak dipertandingkan, akhirnya Perdana Menteri kita sama tarafnya dengan
Saddam Hussein, Muammar Gadafi dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online