Di dalam kehidupan ini mungkin ramai yang masih tidak faham apakah itu ADIL. Maksud ADIL ialah meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai. Mungkin ramai yang beranggapan ADIL itu bermakna sama rata. Ada betulnya juga ADIL itu sama rata tetapi tidak semestinya ADIL itu bermaksud sama rata. ADIL itu bermakna menunaikan hak kepada sesiapa yang berhak keatas hak-hak mereka. Jika ADIL itu membawa maksud sama rata, sudah tentu ramai manusia dalam dunia ini yang tidak mampu menunaikannya kerana banyak perkara dan benda yang tidak dapat disukat atau diukur atau ditimbang.
Sebagai contoh, memberi kasih sayang secara ADIL. Pada pendapat anda, adakah kasih sayang dapat disukat? diukur? ditimbang? dikira? Kasih sayang merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasai kewujudannya. Jika bersikap ADIL dalam sesuatu perkara yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti mengagihkan wang kepada beberapa individu bolehla dikatakan ADIL yang berkonsepkan sama rata kerana kita dapat mengira. Namun begitu, tidak semua perkara yg dapat dilihat dgan mata kasar dapat kita ADILI dengan sama rata. Sebagai contoh, seorang petani menyiram pokok di kebunnya. Adakah setiap pokok atau sayuran di kebunnya mendapat kuantiti air yang sama? Sudah tentu tidak. Jadi, adakah petani itu tidak bersikap ADIL dengan tanamannya?
Begitulah juga di dalam konsep kehidupan kita ini. sebagai contoh hangat la kan, dalam aspek berpoligami ramai yang bising-bising tanpa fakta yang meperjuangkan(tetapi seolah2 mempersoalkan) keADILan. Pada pandangan mereka terutama kaum wanita, ADIL itu adalah perkara yang sama rata. Ramai wanita yang mempersoalkan kewibawaan seorang lelaki dalam bersikap adil. Tetapi adakah mereka tahu apa itu ADIL? Dan juga adakah kaun lelaki itu tahu apa itu ADIL. Sekali lagi saya ingin memberi tahu apa itu ADIL. ADIL bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Jika konsep ADIL dalam kensep berumahtangga yang berpoligami ialah menunaikan hak isteri-isteri serta anak-anak. Tidak semestinya nafkah zahir kita agih sama rata kerana mungkin keperluan antara satu keluarga dan satu keluarga tidak sama. Mungkin isteri yang pertama lebih memerlukan perbelanjaan yang lebih dan isteri yang lain memerlukan sedikit sahaja. Jika ada isteri yang bekerja dan isteri yang tiidak bekerja, sudah tentu si suami perlu menyumbangkan perbelanjaan yang lebih kepada isteri yang tidak bekerja. Namun begitu, perkara ini perlu merujuk kepada siapa yang lebih memerlukan. Sebab itulah konsep ADIL dalam berumahtangga bagi mereka yang berpoligami memerlukan toleransi serta tolak ansur dari semua pihak.
Selain itu, konsep ADIL dalam mendidik anak-anak pula, siapakah yang berani mengaku dia mendidik anak-anaknya dengan keadaan yang sama dari segi kualiti dan kuantiti yg diberikan kepada setiap anak mereka? Agak mustahil untuk menemukan mereka yang bertindak sedemikian. Ini kerana mungkin anak pertama tidak mendapat didikan sebaik anak kedua, anak kedua pula mungkin tidak dapat didikan sebaik anak ketiga dan begitulah seterunya. Perkara ini disebabkan oleh sifat manusia yang sentiasa belajar dari kesilapan. Jadi jika ADIL itu adalah sama rata, saya rasa tiada seorang pun yang mampu berlaku ADIL dalam dunia ini.
Sebab itulah kita perlu ingat kita hanya mampu berlaku ADIL tetapi yang MAHA ADIL ialah Allah. MAHA ADIL Allah ialah ADIL dalam semua perkara. Keadilan Allah adalah mutlak, tiada siapa yang boleh menyanggahnya.
Kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat kerana seburuk-buruk manusia adalah mereka yang kufur. Jika kita lihat di dunia ini ada orang yang kaya, ada yang sederhana, ada yang miskin, ada yang papa kerdana. Malah ada yang cantik, ada yang hodoh, ada yang biasa sahaja, ada yg sangat cantik. Tetapi ingatlah bahawa semua manusia sama sahaja, setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Sebab itulah Allah menjadikan manusia ini berbeza-beza. Janganlah kita terlalu bermegah-megah dengan kelebihan yang kita ada kerana kita juga mempunyai kekurangan dan janganlah kita merasa rendah diri dengan kekurangan diri kita kerana orang lain juga mempunyai kekurangan. Begitulah juga dengan musibah yang kita alami, janganlah kita terlalu kecewa dengan musibah yang menimpa diri kita kerana kita mungkin akan bertemu dengan kebahagian selepas itu. Tidaklah pula kita berlu bangga diri kerana bahagia pada hari ini kerana mungkin esok derita yang menunggu kita. Setiap manusia telah ditentukan qada' dan qadarnya dengan seadil-adilnya. Namun begitu, kita sentiasa diberi pilihan antara mahukan yang baik atau buruk. Kita yang membuat pilihan.
Disini saya sertakan sedikit petikan dr soaljawab tentang Qada' dan Qadar.
Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.
Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.
Isu yang hangat diperkatakan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”
Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.
Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada
Omar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Omar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh At-Tabari)
Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.
Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama ialah takdir di dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi
hamba-hambaKu.” (Surah Qaaf ayat 29)
Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau ‘takdir yang pasti’ dan mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.
Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih
dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)
Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: “Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan.”
Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Tirmizi)
Justeru, Omar Al-Khattab ra pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku.
Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”
Dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah utk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.
Di ambil dari : http://www.mail-archive.com/islah-net@yahoogroups.com/msg06259.html
Sekali lagi diingatkan kita seharusnya menjadi hamba yang bersyukur. Semua yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah yang terbaik walaupun lain yang kita hajatkan. Tidak semestinya menjadi seorang yang kaya adalah yang terbaik untuk kita, mungkin menjadi miskin lebih baik. Tidak semestinya mempunyai rupa paras yang cantik adalah yang terbaik, mungkin lebih baik menjadi hodoh dari menjadi cantik. Tidak semestinya mempunyai pangkat yang tinggi itu baik, mungkin menjadi orang kebiasaan lebih baik untuk diri kita. Yakinlah bahawa apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita adalah yang terbaik untuk kita kerana Allah itu MAHA MENGETAHUI. Perlu diigat juga Allah itu MAHA ADIL.
No comments:
Post a Comment