PAMERAN Motor Geneva yang berlangsung baru-baru ini membuka satu lembaran baru yang penuh bermakna buat firma automotif negara, Perusahaan Otomobil Nasional, PROTON. Proton membuat kejutan dengan memperkenalkan model konsep Eco Mobility Advanced Solutions atau singkatannya EMAS.
Dari segi falsafahnya, ia merupakan sebuah kereta berteknologi hijau yang direka untuk menyelesaikan permasalahan mobiliti dalam bandar dengan memastikan sebuah kereta mampu bergerak tanpa menggunakan bahan api fosil.
Tiga model konsep diperkenalkan pada pameran tersebut. Ia terdiri daripada Proton Emas, Emas Country dan Emas3. Proton yang memiliki 67 peratus pegangan saham syarikat Lotus sejak tahun 1996 akhirnya berjaya mengekspoiltasikan teknologinya. Kepakaran Lotus digunakan sepenuhnya dalam membina enjin Lotus Range Extender bagi projek Emas itu.
Emas, nyata cukup simbolik. Saya sendiri kagum dengan pemilihan nama yang ikonik. Projek Emas bukanlah seperti Exora yang 18 bulan berikutnya dilancarkan. Emas tidak semudah itu, ia sebuah kereta futuristik dengan teknologi hijau hampir sepenuhnya.
Kereta hibrid yang popular seperti Toyota Prius pun mengambil masa lebih 10 tahun untuk menjadi sebuah kereta yang efisien. Apatah lagi jika ia sebuah model konsep kerana ia memerlukan perjalanan yang jauh untuk menjadi realiti.
Projek Emas adalah gabungan Proton, Lotus dan firma reka bentuk Itali, Italdesign Giugiaro (IDG). Giugiaro merupakan nama besar dalam industri reka bentuk kenderaan dan memiliki reputasi yang sangat disegani.
Beliau seperti Cesar Pelli dalam industri automotif. Memetik kata Giugiaro, Proton Emas ialah kereta yang meletakkan kecantikan sebagai aspek yang sama penting dengan fungsi, ergonomik dan keselesaan. Selain impak positifnya terhadap alam sekitar.
Emas berkenaan dengan teknologi sebuah kereta supermini yang dibina untuk kegunaan urban. Direka untuk mengoptimumkan ruang dalaman dan ergonomik mobiliti keluar masuk kenderaan. Keluasan dalamannya adalah setara dengan kereta sedan . Sementara saiz luaran kekal supermini.
Platformnya yang direka khas oleh IDG untuk keluarga Emas mempunyai lantai dua lajuran. Ia boleh memuatkan sistem hibrid atau bateri di tengah lantai. Pergerakan kerusi yang boleh dilaras secara elektronik membolehkan penumpang menikmati ruang dalaman dengan lebih efektif.
Gabungan kedua-dua fasiliti itu membolehkan pergerakan masuk dan keluar kereta yang lebih mudah terutama bagi penumpang tempat duduk belakang.
Melihat kepada ruang kokpitnya , papan pemuka didominasi oleh dua panel transistor filem tipis (TFT). Monitor sebelah kanan pula menempatkan meter kelajuan dan indikator sistem enjin. Meter sebelah kiri memaparkan maklumat sistem hi-fi, telefon, Internet dan informasi lain yang ditetapkan oleh pengguna.
Terdapat lagi satu panel paparan iaitu di konsol sentral dengan kemudahan skrin sentuh untuk mengawal semua fungsi dalam kenderaan.
Proton Emas Country dan Emas3
Konsep Emas Country ialah sebuah SUV urban. Jika diterjemahkan ke bahasa Melayu, Emas Country bermaksud Emas Desa. Emas Country berkongsi dimensi dengan Emas iaitu sepanjang 3550mm. Perbezaaannya, ia direka dengan mempunyai tiga pintu berbanding lima pintu pada Emas.
Konfigurasi kerusinya turut berbeza. Emas mempunyai empat kerusi bebas, manakala Emas Country boleh memuatkan 5 penumpang. Kerusi belakangnya boleh memuatkan tiga orang penumpang dengan fungsi gelongsor. Apabila dilipat, saiz bonet belakang boleh menjadi semakin besar, dari 320 kepada kira-kira 780 liter.
Proton Emas3 pula ialah kereta yang benar-benar dicipta untuk pemanduan bandar. Panjang keseluruhan kereta telah dipotong sebanyak 550mm membuatkannya hanya tiga meter panjang.
Pintunya sama seperti Emas Country, mudah untuk keluar masuk walaupun bagi penumpang belakang. Saiz yang pendek bermakna jumlah penumpang juga sedikit. Dua di hadapan dan hanya seorang di belakang. Dari situlah Emas3 mendapat nama. Angka '3' itu merujuk kepada tiga tempat duduk.
Digerakkan dengan sistem motor elektrik, ketiga-tiga varian Emas juga dipasangkan enjin Lotus Range Extender. Ia merangkumi enjin tiga silinder 1.2 liter dengan 51 kuasa kuda (38 kW) pada 3,500 rpm. Ia boleh diisi dengan petrol, etanol atau metanol.
|
Sistem baterinya pula mempunyai kuasa berterusan 45 kW dengan kuasa puncak 75 kW. Berbeza dengan enjin konvensional yang memutarkan aci picu, tugas enjin bertindak sebagai generator yang mengecas bateri motor pada kereta.
Konsep itu hampir terarah kepada kereta elektrik penuh seperti Mitsubishi i-Miev, Nissan Leaf dan Subaru Plug in Stella. Walaupun kebanyakan model elektrik penuh mampu menggerakkan kereta sekitar 150-160 km, Emas hanya mampu bertahan sehingga 50 km.
Dari segi teorinya, 50 km bukanlah satu angka yang efisien. Namun, bagi sebuah model konsep yang belum pun memasuki fasa prototaip, ia pastinya akan berkembang seiring teknologi dan masa. Mengikut perkiraan saya, angka-angka yang diumumkan ini adalah berdasarkan teknologi semasa iaitu bateri membentuk kos paling tinggi bagi mana-mana sistem hibrid atau elektrik.
Kereta seperti ini amat praktikal jika ia benar-benar menjadi realiti. Dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir amat yakin bahawa Emas akan menjadi model global Proton.
Jika semua pihak terus menyokong projek sebegini, tidak mustahil, ia akan menjadi realiti. Kejayaan konsep itu juga harus diberikan pujian, terutama usaha Proton dalam menjaga alam sekitar dan reputasi negara secara amnya. Tahniah Proton!
credit to :