sampai sini -->

04 October, 2011

Tun Dr Mahathir Menegur Budaya Filem Hantu

Hayati teguran Dr. Mahathir

KECUALI kelmarin, belum ada pemimpin besar yang ambil kisah tentang racun yang disebarkan oleh sebahagian besar filem hantu di negara ini.

Kepentingan masyarakat yakni penonton yang terdiri daripada orang Melayu tidak menjadi keutamaan kerana banyak yang menganggap filem hantu telah “memajukan” industri filem negara ini.
Bingungnya.

Kalau di luar negara genre filem seram antara karya yang dikagumi, nilai estetika dan pemikirannya tinggi.
Tetapi di negara ini filem hantu disekutukan dengan filem-filem buruk dan pemikiran sebahagian besar pembuatnya yang dangkal.

Tetapi kerana filem beracun ini tidak ada nilai politik untuk dipertaruhkan, maka tidak ada yang menegur supaya pembuatan filem ini dinaikkan taraf menjadi karya yang dihormati.
Sebaliknya yang menegur adalah kalangan alim ulama.
Tetapi sikap bebal sesetengah pembuat filem hantu membuatkan ulama pula menerima kejian.

Mujurlah kelmarin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan penuh tanggungjawab menyelar bahawa filem hantu yang begitu banyak diterbitkan telah meracun pemikiran masyarakat.

Filem ini menyekat perkembangan pemikiran masyarakat, mereka kembali takut kepada hantu lebih daripada mereka takut kepada Tuhan. Dr. Mahathir telah menongkah arus ketika pemimpin lain diam dari bersuara kerana dibimbangi menjejaskan kedudukan saham politik.
Perihal filem beracun bukan agenda utama kerana sesetengah menganggap menyokong kegemaran masyarakat lebih penting.

Dr. Mahathir mempunyai asas yang kuat untuk menongkah arus menganggap filem hantu meracun pemikiran masyarakat.
Ini kerana semasa era Dr. Mahathir, filem-filem begini tidak ada, laras penapisan filem juga lebih ketat.
Tidak ada filem atau drama hantu seperti sekarang disiarkan di televisyen.

Ini tindakan tidak popular tetapi Dr. Mahathir dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat tetap melaksanakan larangan itu.
Maka, orang Melayu perlulah merenung dan menghayati teguran Dr. Mahathir dan segera memulaukan filem-filem hantu yang bertaraf sampah sarap itu.

Kita tidak perlu mengharapkan pembuat filem hantu berubah.
Mereka ini jenis oportunis, apa sahaja jenis filem yang digilai ramai mereka akan mengikutnya.

Sekiranya esok ada filem bertemakan dakwah Islam mencatatkan kutipan pecah panggung, pasti mereka juga akan membuat filem jenis yang sama.
Kerana itu kita agak kecewa kerana keracunan yang merosakkan pemikiran masyarakat tidak menjadi agenda utama sesetengah pemimpin.

Sekali lagi mujur Dr. Mahathir sanggup ambil tahu tentang kepentingan masyarakat dan menegurnya.
Padahal Dr. Mahathir boleh saja duduk diam.
Tetapi kerana tidak sanggup melihat masyarakat diperbodohkan sedemikian rupa memaksa beliau bersuara.

akhirnya ada jugak yg bersuara..hahaha


KUALA LUMPUR, 2 Okt — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir (gambar) dipetik Berita Minggu hari ini.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

“Untuk bergerak dan maju ke hadapan, kita perlu banyak menerapkan cara berfikir secara saintifik dalam menyelesaikan masalah, bukan bergantung pada bomoh.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh mengubati orang dengan kemenyan,” katanya sambil menambah, “dulu kita tidak ada cara lain mungkin boleh guna cara itu.”

“Dulu jika kita sakit jantung, pergi belah dada kita akan mati.

“Sekarang, jika kita sakit jantung, kita boleh belah (buat pembedahan) sebab sudah ada mesin jantung dan paru-paru. Itu saintifik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.
sumber akhbar: malaysian insider

No comments:

Post a Comment

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online