sampai sini -->

25 September, 2010

KISAH SEDIH

Bacalah cerita sedih ini Jugak. 


Hari itu aku ke sekolah seperti biasa. Sepanjang perjalanan ke sekolah, ingatanku tertumpu pada ibu yang terlantar di hospital. Sudah dua hari ibu di wad kecemasan. Ibu masih tidak sedarkan diri. Semalam, aku menangis sungguh-sungguh apabila melihat keadaan ibu. Hariku bertambah sedih dan hiba apabila teringat akan dua orang adikku yang masih kecil. 

Aku terkejut apabila Cikgu Asiah memberitahuku bahawa bapa saudaraku    datang untuk menjemputku pulang. Hatiku berdebar-debar. Terasa ada susuatu yang tidak baik berlaku kepada ibuku. Namun begitu, aku cuba memadamkan apa-apa yang terlintas di fikiranku. Aku benar-benar berharap agar perkara yang kutakuti selama ini tidak berlaku. 

Bapa saudaraku diam saja. Dia tidak bercakap walau sepatah kata pun denganku. Apabila sempai di rumah, kulihat banyak orang yang berada di rumahku. Yang perempuan kulihat berselendang atau bertudung. Yang lelaki kebanyakannya bersongkok atau berketayap. Masing-masing khusyuk membaca al-Quran. Lalu, aku dapat meneka yang sebenarnya telah berlaku. Ingin saja aku meraung ketika itu. Namun, akalku dengan segera dapat menenangkan perasaanku. Aku mencari-cari ayah untuk mendapatkan kepastian tentang perkara yang sebenarnya berlaku. 

Apabila ternampak akan diriku, ayah pun melangkah. Dari belakang ayah kulihat kakak, abang, dan adik-adik meluru ke arahku sambil menangis. Kakak memelukku sambil memberitahu bahawa ibu telah meninggalkan kami semua. Ibu telah meninggal dunia. Aku sukar mempercayai kata-katanya. Perkara yang paling aku takuti selama ini benar-benar telah terjadi. Pada saat itu juga dadaku terasa sebak dan tanpa aku sedari air mataku keluar dan mengaburi pandanganku dan akhirnya mengalir perlahan-lahan membasahi pipiku dan setitik dua jatuh ke baju. Suara tangisku mula kedengaran dan pada suatu ketika aku hampir tidak dapat mengawal perasaanku sendiri kerana sukar untuk menerima kenyataan yang pahit itu. 

Aku masuk ke bilik tempat jenazah diletakkan. Kelihatan sekujur tubuh yang sejuk dan kaku terbaring di atas katil. Pandanganku kabur lagi kerana menahan air mata. Kuhampiri jenazah ibu. Kupeluk ibu dengan penuh rasa kasih sayang. Wajahnya yang pucat itu seolah-olah tersenyum manis. Aku seolah-olah tidak percaya akan apa-apa yang kulihat dan kusentuh ketika itu. Aku tidak percaya bahawa ibu akan secepat itu pergi meninggalkan kami. Namun panggilan maut daripada Tuhan memang tidak dapat ditahan. 

Hatiku bertambah pilu apabila melihat saudara-maraku menangis. Kupeluk kedua-dua orang adikku yang masih kecil. Mereka masih belum mengerti apa-apa. Pada usia yang masih kecil begitu, merekatelah kehilangan belaian kasih sayang seorang ibu. Pandangan, renungan, dan simpati yang ditunjukkan oleh orang-orang yang datang menziarahi jenazah ibu menyebabkan hatiku bertambah sedih dan hiba. Aku cuba menenangkan perasaan dengan membaca ayat-ayat suci al Quran. 

Semasa jenazah ibu dimandikan dan dikafankan aku, kakak, adik-adik, dan ayah berkumpul. Ayah tidak menangis, tetapi wajahnya muram dan bersedih. Kakak dan abang menangis tidak henti-henti. Sebelum jenazah disembahyangkan, kami diberi peluang untuk mengucup wajah ibu buat kali terakhir. Sementara menunggu giliran aku mengucup dahi ibu, aku menatap wajahnya lama-lama.aku tahu selepas ini wajah ibu tidak akan ada lagi di hadapanku kecuali dalam ingatanku. 

Kakak dan abangku pengsan ketika mengucup dahi ibu. Mereka terpaksa diangkat oleh orang-orang yang berada di situ. Aku hanya memperhatikan mereka sambil memperkukuh semangatku yang hampir luluh. Kemudian, dengan hati-hati aku mengucup dahi ibu sambil menahan air matuku agar tidak menitik ke atas dahi ibu. Dingin sekali dahi ibu. Alangkah sukarnya untuk melepaskan seseorang yang disayangi daripada pergi apabila kita tahu bahawa ia tidak akan kembali lagi. 

Aku mengiringi jenazah ibu hingga ke tanah perkuburan. Perlahan-lahan keranda ibu dimasukkan ke liang lahad. Selepas taklin dibacakan, orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan itu. Aku masih tidak bergerak dari kubur ibu. Berat rasa hatiku untuk melangkah meninggalkan tempat itu. Berbagai-bagai perasaan bercampur-baur dalam diriku. 

Akhirnya aku meninggalkan tanah perkuburan itu setelah dipujuk oleh ayah. Aku melangkah lemah sambil mengesat sisa-sisa air mata. Mataku bengkak kerana terlalu banyak menangis. Baru aku sedar bahawa sejak pulang dari sekolah tadi, aku masih belum bertukar pakaian. Dan sejak pagi aku belum lagi menjamah apa-apa. Perutku terasa kenyang dan semua yang berlaku terasa seperti dalam mimpi. 

Untuk pertama kalinya dalam hidupku, aku berasa begitu sunyi. Kematian ibu yang merupakan orang yang paling kusayangi tidak mungkin dapat kucari ganti. Seandainya aku diberi pilihan, mahu rasanya aku mati dahulu. Sehingga kini aku masih tidak dapat melupakan peristiwa itu. Setiap kali mengingati peristiwa itu, setiap kali itulah air mataku bergenang. Semoga Tuhan mencucuri roh ibu dengan rahmat-Nya.

1 comment:

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online