sampai sini -->

25 September, 2010

Haji Abdul Rahman atau Abdul Rahman Limbong

Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu.

Bagaimanapun ahli-ahli sejarah tidak mencatatkan secara komprehensif peranan besar Tok Limbong selain dakwaan beliau mengepalai sekumpulan penduduk Hulu Terengganu mengangkat senjata bagi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara pada sekitar 1920-an.

Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai "Pemberontakan Tani Terengganu", Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih.

Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja.

Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah.

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.

Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama "Telaga Limbong" kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

GELARAN TOK LIMBONG

Cicit beliau, Mohd Ghazali Abdullah berkata moyangnya yang dibesarkan di Pahang menerima gelaran Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong kerana beliau pernah berkampung di satu tempat bernama Limbong di Kemaman. Kampung itu juga menjadi persinggahan tetapnya ketika mengendalikan urusan perniagaan di pesisiran pantai.

Mohd Ghazali berkata pembabitan moyangnya dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.

Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.

Menurut Mohd Ghazali peraturan yang menindas itu menyebabkan sekumpulan petani di Hulu Terengganu melancarkan bantahan dengan tidak mengendahkan larangan terhadap pengambilan tumbuh-tumbuhan liar itu sepanjang Julai dan Ogos 1921.

Akibatnya, 43 orang daripada petani terbabit telah disaman dan dibicarakan di mahkamah rendah Kuala Terengganu atas tuduhan membuka tanah tanpa kebenaran.

MEMPEROLEHI LESEN UNTUK MEMBELA PETANI

Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dan dakwah, peristiwa itu menggamit Tok Limbong untuk tampil membantu. Lantas beliau memohon dan memperolehi lesen untuk membela nasib petani-petani berkenaan dalam perbicaraan yang menarik tumpuan ribuan rakyat Terengganu.

Dengan menggunakan panduan daripada Quran dan sunnah Rasul, walaupun dalam perbicaraan yang dijalankan di mahkamah sivil, pihak pendakwa gagal mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan Tok Limbong, sekali gus memberi kemenangan kepada 43 petani terbabit.

Kemenangan sekali lagi berpihak kepada Tok Limbong ketika kes itu diulangbicara di mahkamah tinggi.

Tok Limbong yang berniaga menggunakan "perahu besar" dikatakan sedang berada dalam perjalanan dari Beserah di Pahang ke Legor di Thailand apabila sekumpulan penduduk yang terlalu benci dengan kehadiran Inggeris di tanahair mereka melancarkan kebangkitan bersenjata di Padang Kacong, Telemong, Hulu Terengganu pada 21 Mei 1928.

Ia adalah susulan beberapa serangan yang menyaksikan antara lain pihak pejuang berjaya menawan balai polis Kuala Berang.

PERTEMPURAN DI PADANG KACONG

Dalam pertempuran di Padang Kacong itu, 12 penduduk kampung, termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Tok Janggut (bukan Tok Janggut yang terbabit dalam kebangkitan menentang penjajah di Kelantan) terkorban akibat tembakan.

Pihak Inggeris yakin Tok Limbong adalah dalang di sebalik kebangkitan itu dan terus mengenakan tekanan ke atas Sultan agar meletakkan Tok Limbong dalam tahanan.

Tok Limbong dipanggil menghadap Sultan Sulaiman di Istana Maziah, walaupun urusan perniagaan dan dakwahnya belum selesai ketika itu.

Tanpa sebarang perbicaraan, Tok Limbong ditahan dan seterusnya dibuang negeri, mula-mula ke Singapura di bawah tahanan pihak berkuasa Negeri-negeri Selat dan selepas itu ke Mekah di mana beliau meninggal dunia 15 bulan kemudian.

Menurut Mohd Ghazali, semasa di Mekah moyangnya menginap di sebuah rumah wakaf berhampiran Masjidil Haram di mana beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya mengajar agama. Malangnya janji kerajaan negeri ketika itu untuk menghantarnya elaun bulanan jika beliau berangkat ke Mekah tidak pernah dikota.

GENERASI WARISAN

Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang berlaku selepas itu, terutama tentang harta benda dan urusan perniagaannya, kecuali generasi warisannya yang masih ramai boleh ditemui di sekitar Pulau Musang, Kuala Terengganu dan makam 12 pahlawan Melayu itu yang diabadikan di Padang Kacong, Kuala Telemong.

Walaupun sejarah tidak mencatatkan bahawa batang tubuh Tok Limbong pernah turun ke gelanggang tempur, yang pastinya semangat juang yang ditiup ke dalam sanubari orang Melayu ketika itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi semangat generasi selepasnya untuk meneruskan perjuangan menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

No comments:

Post a Comment

YOUR NUMBER :

frontpage hit counter nasnur hit counter and User Online