Sebentar tadi, saya telah sedang mengkaji separuh jalan tentang "Biar mati anak, jangan mati adat" ini, tetapi semasa membuat penyelidikan serta kajian, saya terbaca artikel dari Saiful Islam, oleh kerana apa yang saya nak cari dan terangkan semuanya ada disini dan hampir sama, jadi saya terus memaparkan artikel beliau di blog ini.
“Biar mati anak, jangan mati adat”
Keras benar bunyi pepatah itu. Sehingga menyakitkan jiwa Melayu Baru bawa jelek benar pemikiran orang dulu, sanggup mati anak semata-mata mahu mempertahankan adat.
Saya sudah menulis sedikit sebelum ini tentang maksud adat pada peribahasa itu. Kita tidak boleh memahami bahasa dahulu dengan pemikiran hari ini. Bahasa lama perlu difikir cara lama.
Orang Melayu membungkus agama dan adat, di dalam satu peti emas yang dianggap sebagai jati dan harga diri. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar dan manis dirasa.
Maka jika kita bertemu dengan watikah bertulis sebagai ‘Hukum Adat’, janganlah terus dihumban ke tepi bahawa adat itu adalah budaya resam yang merosak agama. Adat itulah agama, pada bahasa Melayu Lama.
BERBIN DAN BINTIKAN EMAK
Saya masih ingat, perbualan dengan arwah Opah, sekitar 20 tahun lalu. Opah bukan hafizah, tetapi Opah mengajar saya mengaji sambil dia menggoreng ikan. Jika saya nakal melompat ayat, opah menegur sambil mengetuk sudip di kuali.
“Opah, kenapa masa talqin, nama orang disebut dengan bin atau binti emak?”, saya bertanya kepada Opah selepas habis semuka mengaji Quran.
“Bukan semua orang ada ayah. Takkan nak malukan si mati di depan kuburnya”, kata opah sambil membetulkan telekung putihnya.
Saya terdiam.
Hari ini saya memikirkannya kembali. Ketepikan seketika soal sunnah atau tidak bertalqin cara orang di Malaysia, tetapi saya amat tersentuh dengan jawapan opah. Apabila si mati dibahasakan di sisi pengebumiannya dengan berbin atau berbintikan ibu, terhindarlah aib si mati, jika ada. Tidak semua orang jelas bapanya, namun semua kita beribu dengan perempuan yang ada nama.
Begitulah berhalusnya masyarakat kita. Menerima beralas, menolak berlapik.
TEPUNG TAWAR
Fikiran ini muncul apabila pagi tadi saya berbual dengan abang kepada Divesh Kumar Danial Kakulai, calon peserta di dalam rancangan ‘Cari Menantu’ di TV9. Kami berbual tentang satu aspek perkahwinan bangsa Melayu, iaitu soal menepung tawar.
Mahu tidak mahu, pelbagai fatwa telah dikeluarkan tentang soal menepung tawar. Bukan hanya di Malaysia, malah Brunei Darussalam yang kuat berpegang dengan adat istiadat Melayu sendiri pun, berfatwa pada tahun 2003 menegahnya.
Menepung tawar, merenjis bunga mawar dan menabur beras itu, ada signifikasi agama Hindu di sebaliknya. Ia bukan sekadar budaya, ia agama. Tentu sahaja bagi Danial dan abangnya, lebih faham tentang erti di sebalik ‘amalan’ itu.
Fatwa tetap fatwa, hukum tetap hukum.
Namun usaha untuk menjernihkan antara agama dan adat, jauh lebih sukar dari yang dijangka. Walaupun nyata bersalahan dengan agama, mencabut adat yang asing dari Islam, tidak semudah mencabut kemuncup yang lekat di kain. Akarnya dalam mendasar, batangnya tajam berduri.
Mencabutnya dengan tergesa-gesa hanya mengundang luka. Khususnya adat yang bersangkut dengan maruah keluarga.
Adat itu jadi lebih rumit, apabila ia bersangkut dengan perkahwinan.
Ramai generasi celik Islam hari ini mahukan perkahwinan yang bertepatan dengan Sunnah. Jauh dari bid’ah dan ringkas perjalanan dan belanja. Namun apa pula kata orang tua-tua?
Saya pernah bertanya kepada orang tua, “mengapa tidak diringkas-ringkaskan sahaja walimah sanak saudara?”
Jawab pakcik saya, “ringkas-ringkas itu agama, tetapi jangan sampai menimbulkan tanda tanya”.
“Tanda tanya yang bagaimana?”, saya kurang jelas.
“Ringkas kadang-kadang dilihat seperti tergesa-gesa. Bagai ada yang tidak kena”, itu komen pakcik saya.
Saya faham apa yang dimaksudkannya. Ketika dua keluarga baru mahu menyatu saudara, soal maruah dan harga diri amat penting. Jangan dicemar.
Mahu tidak mahu, benci atau suka, begitulah orang Melayu. Orangnya bercakap halus, kekadang tidak didengar, sering pula jadi di belakang. Maka orang tua-tua kita amat enggan menanggung rumah yang telah siap, namun pahat masih berbunyi.
Pengalaman saya dan isteri, ketika mahu berumahtangga, sedikit sebanyak ada pengalaman yang boleh dikongsi. Setelah cinta kami terbit di medan dakwah, perkahwinan itulah model kefahaman kami terhadapnya. Rumahtangga mahu dibina, bermula dengan langkah yang bersih dari perkara yang tidak diingini.
BERSANDING
Tentu sahaja, isu paling utama adalah soal bersanding.
Majlis pernikahan saya berlangsung di rumah pengantin perempuan, dinikahkan sendiri oleh bapa mertua. Namun di sisi sebelah kanan, ada pelamin yang tersedia. Saya sudah memahaminya, namun rombongan yang mengikut saya sedikit teruja.
Keesokan pagi, sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan, saya menerima panggilan telefon dari seorang penduduk kampung.
“Assalamualaikum ustaz. Hai, ustaz berceramah sana sini, tapi semalam nampak macam ada pelamin aje! Apa hal?”, tanya beliau.
Tentu sahaja fikiran saya amat terganggu dengan panggilan itu. Hanya tinggal sejengkal sebelum saya masuk ke alam baru. Saya perlukan sepenuh keyakinan diri untuk hari ini, tetapi ada pula ‘panggilan nakal’ seperti itu. Tak supporting sungguh!
Saya kuatkan semangat dan fokus kembali kepada apa yang saya boleh kawal. Saya malah isteri, tidak berupaya untuk menentukan sesuatu yang dikongsi bersama dengan keluarga. Maka kami berjanji untuk mengawal dan mempertahankan diri, sebaik yang kami terdaya.
Setibanya di rumah pengantin perempuan, dengan iringan kompang, saya melangkah antara debar dan tenang. Saya rasa berdebar kerana terlalu ramai mata yang memerhati dan mereka akan memerhatikan saya duduk di kerusi yang dinamakan pelamin. Namun saya tenang, kerana saya faham apa yang sedang berlaku pada masa itu.
Langkah antara debar dan tenang
Fikiran saya terkenang kembali kepada penjelasan ibu mertua saya beberapa hari sebelumnya.
“Kalau sekadar buat meja makan beradat, takkanlah tetamu dan menantu terus ke meja makan sahaja. Tentulah masuk ke rumah dulu. Jika tidak masuk rumah, sedih pula si tuan rumah. Dan oleh kerana sudah masuk ke rumah, kita elokkanlah sedikit kerusi tempat anak menantu nak duduk. Itu sahaja. Bukan nak menunjuk atau apa-apa”, bersungguh-sungguh emak mertua saya memberikan penjelasan.
Terharu…
Kalau nak diikutkan, tidak perlu pun emak jelaskan kepada saya. Saya mahu mengahwini anaknya, dia berhak untuk menentukan apa sahaja. Tetapi dalam keluarga tidak begitu. Kasih sayang bukan soal siapa betul siapa salah. Kasih sayang ialah soal siapa menang siapa kalah. Dan tiada siapa mampu mengalahkan kasih sayang ibu kepada anak menantu.
Anak hanya belajar menghargai kasih sayang ibu bapanya apabila akal sudah hidup di kepala, namun ibu bapa sudah menyayangi anak sebelum lahir ia ke dunia.
Ibu mertua saya sudah membahasakan dirinya emak, pada hari pertama saya datang merisik. Tiada siapa yang boleh mengalahkan kasih saya emak mertua saya kepada anak-anak, sekalian menantu dan cucu-cucunya.
Kerana itu, emak masih cuba memujuk saya, dan siapalah saya untuk berkeras kepala semasa menyusun tapak untuk bertandang menyertai keluarganya.
Saya hargai penjelasan emak dan ia sudah cukup lapang buat hati saya.
Saya melangkah, disatukan dengan isteri di depan rumah, dan kami melangkah masuk ke rumah.
“Cepat, cepat! Jangan nak lama-lama. Duduk sekejap sahaja!”, kata ipar-ipar saya semasa kami berdua didudukkan di atas kerusi berhias.
Saya sebenarnya tenang sahaja. Mungkin mereka yang bimbang saya ‘meletup’ kerana tahu saya tidak begitu menyukai upacara ini.
Duduk seketika, ahli keluarga mengambil gambar dan kami bangun semula menuju meja santap untuk makan bersama.
Seperti kata abang Danial di dalam rancangan ‘Cari Menantu’ semalam, seorang pengantin bukan hanya berkahwin dengan pasangannya. Pengantin turut berkahwin dengan keluarga pasangannya. Maka soal mengambil hati dan menyesuaikan diri dengan keluarga dan sensitiviti mereka, adalah sebahagian daripada tanggungjawab berumahtangga.
Di rumah pengantin lelaki, majlis lebih ringkas
Atas prinsip proaktif, fokuslah pada apa yang kita mampu mengawal dan mengubahnya. Maafkan percanggahan yang ada. Maafkanlah kebiasaan yang ada dan cubalah untuk minimumkan apa-apa yang agama tidak suka. Namun, kuatkan azam kukuhkan keyakinan agar generasi kita yang tersepit di antara adat dan agama ini, tidak mengulanginya ketika hari kita menyambut menantu.
Jika anak-anak muda yang idealistik dengan kefahaman Islamnya, dan mahu bertegang leher menjelang hari perkahwinan, saya tiada upaya untuk berbuat apa-apa. Terpulanglah kepada mereka. Namun bagi yang sedar dengan realiti, bahawa cara kita dan bakal isteri memahami Islam mungkin berbeza daripada apa yang difahami oleh generasi ibu bapa, lantas mahu teliti dan berhalus dalam menentukan sikap dan tindakan, maka artikel saya ini adalah perkongsian pengalaman untuk dimanfaatkan bersama.
Tentu sahaja contoh ini bukan contoh yang terbaik. Namun dengan keupayaan semasa itu, saya telah mencuba yang terbaik.
Kita harus ingat bahawa rumahtangga bukanlah hal sehari dua. “Oh, aku sudah bernikah. Maka dia adalah isteriku dan aku berhak sepenuh ke atasnya!” Jangan sekali-kali berfikir begitu.
Berumahtangga bukan hanya menggabungkan dua insan, malah ia mempersaudarakan dua keluarga. Di dalam sebuah keluarga, ada pelbagai peringkat dan tahap seseorang di dalam menilai dan melihat Islam.
Jangan pula kerana mahu membuang adat, kita turut membuang adab.
Janganlah pula pada hari kita “menyambut mertua”, kita hilang pertimbangan. Jangan kerana menegakkan agama, kita hilang budi bahasa. Jangan ketika masih di rumah ‘orang’ kita masuk berjalan tempang.
Tunggulah hari kita “menyambut menantu”. Segala kesulitan yang kita hadapi dalam menekuni kesulitan belenggu antara adat dan agama, jadikan ia sebagai suatu teladan. Kita adalah generasi jambatan antara zaman adat dan zaman syariat. Tersepit dan keliru, adalah habuan untuk generasi ini. Namun belajarlah untuk menelitinya. Agar tiba hari kita mengatur perkahwinan suatu hari nanti, anak-anak kitalah generasi yang dapat menikmati Islam yang ringkas, namun kekal indah di dalam syariat Allah.
credit:www.saifulislam.com
Pernahkah anda mendengar Kisah Putera Raja Aceh Yang Berzina? Memandangkan saya telah terlanjur membuat kajian tentang tajuk di atas,jadi saya ingin menambah sedikit tentang cerita Putera Raja Aceh ini. Sultan Iskandar Muda Menghukum Mati Anaknya Sendiri Karena Menegakkan Syariat Islam
Salah satu makam di dalam kawasan petak di belakang penulis adalah makam Meurah Pupok iaitu anak lelaki kepada Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Meurah Pupok dijatuhkan hukuman hudud oleh ayahnya sendiri iaitu Sultan Iskandar Muda atas kesalahan berzina dengan isteri salah seorang pengawal istana. Pelbagai cadangan diberikan agar Baginda meringankan hukuman ke atas Meurah Pupok memandangkan ia anak seorang Sultan, namun Iskandar Muda menolak semua cadangan itu demi memastikan Syariat Islam tertegak ke atas sesiapa sahaja.
Meurah Pupok adalah anak dari isterinya yang bergelar Putri Gayo (asal dari etnik Gayo salah satu etnik di Aceh Tengah).
Antara isteri Iskandar Muda yang lain adalah Putri Sani yang berasal dari Ribee, Pidie, Aceh. Dari Putri Sani, lahirlah anak yang akhirnya menjadi salah seorang Sultanah Aceh iaitu Sultanah Sri Ratu Safiatuddin Tajul Alam (1641-1675). Ratu Safituddin ini berkahwin dengan anak kepada Sultan Ahmad Syah, Pahang, Malaysia yang akhirnya menjadi Sultan ke-13 selepas Sultan Iskandar Muda. Beliau adalah Sultan Iskandar Thani (II) (1636-1641). Selepas zamannya, maka bermulalah Aceh diperintah oleh para Sultanah dengan dimulai oleh Sultanah Safiatuddin.
Isteri Sultan Iskandar Muda yang terkenal adalah Putroe Phang (Puteri Pahang). Namanya adalah Puteri Kamaliah. Ia merupakan puteri dari Kesultanan Pahang setelah Pahang ditakluk oleh Aceh pada tahun 1617. Ada yang mengatakan bahawa Putroe Phang ini adik kepada Sultan Ahmad Syah, Pahang pada masa itu. Namun, hasil perkahwinan antara Iskandar Muda dengan Putroe Phang tidak melahirkan anak.
Anak Iskandar Muda yang bergelar Meurah Pupok ini adalah hasil perkahwinan Baginda dengan Putri Gayo. Kalimah ‘Meurah’ adalah gelaran bagi Raja-Raja Aceh sebelum kedatangan Islam. Contohnya adalah Meurah Silu iaitu orang yang awal mendirikan Kerajaan Islam Samudera Pasai (sekarang Aceh Timur). Kerajaan Samudera Pasai bermula pada tahun 1042 sehingga 1427 Masihi. Meurah Silu di Islamkan sekitar tahun 1270-1275 Masihi oleh seorang ulama’ dari Mekah iaitu Sheikh Ismail. Akhirnya nama beliau bertukar menjadi Sultan Malikus Saleh. Kerajaan ini dimulai dengan Islam dizaman pemerintahannya iaitu tahun 1261-1289 Masihi. Dalam bahasa Gayo, kalimah ‘Meurah’ disebut sebagai ‘Marah’.
Kini, makam Meurah Pupok iaitu anak Sultan Iskandar Muda ini dikelilingi oleh lebih 2000 makam tentera Belanda yang berjaya dibunuh oleh para Mujahid Aceh sekitar tahun 18. Di makam Meurah Pupok, tercatat kata-kata yang sangat masyhur dari Sultan Iskandar Muda saat menjatuhkan hukuman hudud ke atas anaknya itu iaitu “Mate Aneuk Meupat Jirat, Gadoh Adat Pat Tamita” . Perkataan yang diucapkan oleh baginda di dalam bahasa Aceh ini bermaksud ‘ Mati Anak Boleh Dicari Kuburnya, Tetapi Mati Adat Dimana Lagi Mahu Dicari’. Maksud ‘adat’ didalam ayat ini adalah adat-adat yang Islami yang dihidupkan di bumi Aceh Darussalam pada masa itu.
Dalam sejarah Kerajaan Islam Aceh Darussalam di era Kesultanan Aceh (1514-1903), tercatat bahawa adalah seorang lagi sultan yang sangat tegas melaksanakan perintah Allah walaupun terhadap anggota keluarganya sendiri iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah II Al-Qahhar (Sultan Alauddin Riayat Syah Sayyid Al-Mukammil), sultan Aceh yang ke-10 yang memerintah pada tahun 1588-1604. Ini diakui oleh Teungku Hasanuddin Yusuf Adan (Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia-Cabang Aceh (DDII) / pensyarah fakulti Syariah IAIN Ar-Raniry)dalam tulisan beliau, Syariat Islam di Aceh: Antara Implementasi dan Diskriminasi, menyatakan bahawa:
“sebagai contoh konkrit tentang pelaksanaan Syariat Islam yang berkenaan dengan hukum hudud dalam kerajaan Aceh Darussalam adalah apa yang terjadi pada masa Sultan Alauddin Riayat Syah II Al-Qahhar yang telah melakukan hukuman bunuh ( qishas ) terhadap puteranya sendiri, Abangta yang ditangkap kerana zalim, membunuh orang lain dan melawan hukum serta adat yang berlaku dalam kerajaan”.
Malangnya, ada buku-buku sejarah yang menulis bahawa, Aceh berada di bawah pemerintahan yang kejam dan keras iaitu zaman Iskandar Muda. Sekarang barulah kita mengetahui, yang dimaksudkan dengan kejam dan keras itu adalah kerana beliau melaksanakan Syariat Allah dalam pemerintahannya. Inilah sejarah yang ditulis oleh para orientalis dan anak didik mereka.Memandangkan keadaan sekarang banyak pihak yang mula mengkritik bangsa Melayu serta adat budaya Melayu maka ramai yang berhati busuk dengan bangsa Melayu cuba memburuk burukkan orang Melayu sehingga pepatah "Biar mati anak, jangan mati adat disalah fahamkan serta disalah ertikan oleh mereka. Rasa ramai antara kita yang lupa pada pepatah Melayu yang menyebut "Hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah". Ianya hampir sama tetapi pepatah ini cuba dilupuskan supaya masyarakat terus memburukan bangsa Melayu yang terkenal degan budaya serta pegangan yang kuat dengan ajaran Islam.
wallahualam bissawab...
No comments:
Post a Comment