Suatu hari semasa Dr. Izham Nayan, 43 sedang berbual-bual dengan seorang
lelaki warak yang dipanggilnya Pak Syeikh, terpacul dari mulut orang
tua itu mengenai soal perpaduan orang Melayu silam
“Hisss!! Sapa kata Hang Jebat mati dibunuh Hang Tuah? Mengarut..!! Pak Syeikh melenting ketika melontarkan kata-katanya.
“Ini tidak benar!” sambung Pak Syeikh lagi.
Dr. Izham terus mendengar kata-kata Pak Syeikh itu dengan penuh minat.
Berdasarkan pengalaman Pak Syeikh itu, manakan bisa dua saudara pahlawan
sateria melayu seagama yang telah mengaku bersaudara, berbunuh-bunuhan
sesama sendiri?
Berdasarkan cerita Pak Syeikh, dua
pahlawan Melayu bersaudara sedari kecil telah berjaya melawan
lanun-lanun Siam yang mengganas di utara negeri Kedah.
Keberanian tujuh bersaudara itu menyebabkan mereka terpilih menjadi anak
angkat Sultan Kedah seterusnya diutus membantu Sultan Melaka menghalau
lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Melaka. Hang Tuah akhirnya
dilantik menjadi Laksamana Melaka. Rakan-rakannya menjadi hulubalang
istana.
“Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang
Lekiu, hangpa semua pi tolong raja Melaka. Depa tu ada masaalah
penyamun!
“Hang (loghat Kedah) ertinya kamu. Sekarang nama
Lekir, Lekiu merupakan nama tempat di Kedah,” terang Pak Syeikh itu
kepada Dr. Izham.
Pak Syeikh berhujah lagi,
seandainya dua manusia kepala penyamun yang saling bermusuhan sekalipun,
jika dikurung dalam sebuah rumah selama tujuh hari tujuh malam pasti
mereka akan berbaik-baik semula.
“Inikan pula saudara sesumpah!
Sebangsa dan seagama. Manakan boleh diterima akal, mereka bertarung
tiga hari tiga malam tanpa henti, kemudian berbunuhan?” soal Pak Syeikh
lagi.
Pak Syeikh mengulangi lagi bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat tidak berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
“Tak. Mereka berdua mencari akal macam mana nak selesaikan soal
perpaduan bangsa Melayu. Setiap penyakit ada ubatnya!” beritahu Pak
Syeikh.
Persoalan yang dilontarkan Pak Syeikh itu ada
kebenarannya. Dr. Izham yang juga Pengarah Majlis Permuafakatan Ummah
(PEWARIS) melihat hujah yang dibawa Pak Syeikh itu dari sudut positif.
Beliau membelek semula pelbagai versi naskah Hikayat Hang Tuah dan
Sejarah Moden Melayu. Berdasarkan kajian, terdapat sebanyak 11 versi
kesemuanya ada menceritakan pertikaman antara Hang Jebat dan Hang Tuah.
Mungkin apa yang diceritakan Pak Syeikh ini versi ke-12 yang terlepas
pandang oleh pengkritik dan pengkaji sejarah Melayu.
Atau
mungkin juga apa yang diceritakan Pak Syeikh ini suatu lagenda!. Atau
mungkin suatu analogi baru yang sengaja dicipta untuk menolak versi
bangsa Melayu sangup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Versi baru ini
lebih positif untuk perpaduan Melayu.
Dr. Izham terfikir ada
baiknya Hang Jebat tidak mati di tangan Hang Tuah. Benar seperti kata
Pak Syeikh itu bahawa selagi bernama Melayu, mana mungkin mereka sanggup
berbunuh-bunuhan sesama sendiri! Inikan pula bertikam selama tiga hari
tiga malam tanpa henti!
Dr. Izham melihat adengan ketika
pertelingkahan berlaku antara Hang Jebat dan Hang Tuah suatu taktik
paling hebat dalam sejarah kepahlawanan Melayu. Di sinilah letaknya seni
persilatan orang Melayu.
Ketika itu para tali barut dan kroni Sultan Melaka dan Pateh Gajah Mada asyik mengendap untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Keadaan meyebabkan Hang Tuah dan Hang Jebat berhenti sebentar untuk
mencari akal. Pada perkiraan Dr. Izham perlawanan tesebut tidak lebih
hanyalah sebagai ‘berlatih’ saja. Maklumlah sudah lama Hang Jebat dan
Hang Tuah tidak bertemu dan mempraktis ilmu persilatan masing-masing.
Pada hemat Dr. Izham, mana mungkin Hang Jebat sanggup melepaskan Taming
sari yang keramat itu hingga terpacak ke lelangit bumbung istana?
Melainkan ia dibuat secara sengaja! Ya! Taktik ini dipercayai
disengajakan.
Akhirnya Hang Jebat mencederakan sendiri jari
kelengkengnya dengan keris sultan yang dibawa Hang Tuah didalam gulungan
langsir. Perbuatan Hang Jebat itu pula dilakukan secara beselindung
bagi membolehkan tidak ada mata kroni Sultan Melaka mahupun Pateh Gajah
Mada mengetahuinya.
Hang Tuah pula berpura-pura menyerang
dengan keris Taming Sari yang telah bertukar tangan. Disinilah
terletaknya kehebatan taktik Hang Tuah dan Hang Jebat.
Keris
Taming Sari terkenal amat berbisa dan tidak wajar Hang Jebat menggunakan
keris tersebut untuk melukai jarinya, melainkan ia mesti bertukar
tangan dengan hang Tuah.
“Kalau tak tukar, bila Hang jebat hiris jari kelengkeng boleh bawa maut!” hujah Dr. Izham.
Hang Jebat pula berpura-pura memekap perutnya dengan tangan kiri yang
berlumuran darah, mengikat dan merenjiskan darah tersebut pada kain
langsir istana. Para pengampu dan pembodek sultan bersorak mengatakan
Hang Jebat sudah ditikam Hang Tuah! Walhasil…itu hanya sandiwara belaka.
“Orang bukan lihat luka, orang lihat darah…” kata Dr. Izham lagi.
Pada hemat Dr. Izham, keadaan itu membolahkan Hang Jebat mengamuk
dengan selesa selama tujuh hari tujuh malam membunuh hanya para kroni,
pengampu sultan dan pengadu domba kepada Hang Tuah.
Jika Hang
Jebat ditikam dengan Taming Sari, mana mungkin pahlawan itu masih boleh
mengamuk selama itu? Tentu tidak logik sebab keris Taming Sari amat
berbisa.
Sekali lagi Dr. Izham berhujah, melainkan bukan keris
Taming Sari yang digunakan sebaliknya keris milik Sultan Melaka dan luka
kecil hanya pada jari kelengkeng sahaja bagi meyimbah darah ke perut
Hang Jebat.
Setelah habis mengamuk Hang Jebat kononya dikatakan
mati dirumah Hang Tuah. Sekali lagi kejadian ini tidak lojik. Namun
tidak seorang pun dibenarkan melihat jenazah Hang Jebat.
“Syoknya, Hang Jebat mati diriba Hang Tuah!” cerita Dr. Izham.
Kononya Hang Tuahlah yang memandikan, mengapankan dan meyembahyangkan sendiri jenazah Hang Jebat.
Lojiknya, kata Dr. Izham selepas Hang Jebat membersihkan saki-baki
pengampu, kroni sultan Hang Tuah dan Hang Jebat selepas itu kembali
semula mendalami ilmu persilatan dengan guru mereka Adi Putera.
Dua pahlawan itu seterusnya memohon untuk pergi merantau sehinggalah ke
Pattani membuka pesantren di sana dan mengajar murid-murid ilmu
persilatan dan mengaji Al-Quran.
Melalui identiti baru itu
mereka berdua berjaya melahirkan ramai pahlawan melayu yang hebat dan
terkenal memerangi penjajahan di Nusantara.
Paling menarik, Dr.
Izham menyatakan kesemua ahli keluarga Hang Jebat dan Hang Tuah pulang
semula ke Kedah dan tinggal di Pulau Melaka di Langkawi.
Dr.
Izham ada juga mendengar cerita orang bahawa Mahsuri adalah dari susur
galur keturunan Hang Tuah. Mereka membawa bersama resepi makanan tradisi
dan menamakannya sempena negeri Melaka.
Umpamanya cabai melaka kerana orang Melaka suka makan pedas, buah Melaka, gula Melaka dan lain lain lagi.
Akhir kalam, Dr. Izham sekali lagi bersetuju dengan Pak Syeikh bahawa
dalam soal perpaduan orang Melayu : ‘Air dicincang tak akan putus!’
Sesukar manapun situasi yang dihadapi, pasti ada muslihat bagi menyelesaikannya tanpa mengorbankan nyawa orang Melayu.
Berdasarkan kisah Hang Tuah dan Hang Jebat tadi, pihak istana mahukan
si Jebat dibunuh maka tidak ada masaalah bagi Tuah membunuh nama si
Jebat. Perkara ini perlu dilakukan berhati-hati agar titah raja tetap
keramat. Yang mati adalah nama Hang Jebat, bukan semangatnya. Hang Tuah
dan Hang Jebat hidup sampai ke tua mencapai taraf makam wali.
Berdasarkan lagenda ini, Dr. Izham menyimpulkan bahawa orang Melayu
telah banyak kali diuji sejak peristiwa Hang Tuah bertikam dengan Hang
Jebat, Malayan Union dan peristiwa 13 Mei 1969.
“Menariknya, dalam menghadapi soal genting ini, orang Melayu kembali bersatu! Kembali kuat!” katanya.
Dr. Izham percaya orang Melayu sekali akan bersatu sekiranya survival
kehidupan mereka diancam dan terancam oleh suasana sekeliling yang
mencemaskan masa depan bangsa dan agama Islam.
“Jika tidak bersatu kata-kata ‘Takkan Melayu Hilang Didunia’ hanya tinggal nama!” kata Dr. Izham mengingatkan.
[ toyu ] Petikan dari Mastika edisi Disember 2010
it does make sense tho
ReplyDelete